Wang Pencen Untuk Keperluan Kucing

Minat dan sayang pada kucing menyebabkan seorang pesara tentera sanggup menggunakan wang pencennya untuk membina tempat khas kucing.

Selain turut menyelimut sangkar kucing itu dengan tuala basah demi keselesaan haiwan peliharaannya ketika cuaca panas.

Abdul Samat Lebai Salleh, 61, dan isterinya, Nurul Aini Yan, 45, begitu sayang kepada kucing dan hingga kini memelihara 47 kucing.

Katanya, apa yang penting adalah kebersihan yang perlu diutamakan kerana jika hidup berjiran perlulah menjaga hati jiran.

Justeru, kebanyakan kucing peliharaan saya semuanya tinggal di dalam sangkar dan jika dibiarkan bebas hanya di halaman rumah.

“Saya tidak membiarkan kucing ini berkeliaran sesuka hati, malah saya akan mencarinya jika terlepas dan membawa pulang kerana tidak mahu mengganggu kehidupan jiran.

“Setiap hari saya akan membasuh sangkar dan memandikan kucing agar sentiasa bersih dan saya dalam perancangan membina tempat kucing yang seakan hotel bagi pusat penjagaan kucing di bahagian tepi rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kenari, di sini.

Abdul Samat berkata, bagaimanapun untuk merealisasikan impian itu memerlukan banyak pengorbanan terutama wang serta masa.

“Bagi membina pusat penjagaan kucing itu ia memerlukan kos banyak iaitu sekitar RM5,000 bagi mengubahsuai rumah dan sepatutnya ia dilakukan tahun lalu namun disebabkan kekurangan dana saya terpaksa tangguh terlebih dahulu.

“Kini saya membeli sedikit bahan binaan menggunakan wang pencen yang saya dapat dan pernah ada seseorang mengetahui kisah saya lalu menghubungi saya serta berjanji untuk membantu memberi sumbangan kewangan,” katanya.

Abdul Samat berharap, impiannya membina pusat penjagaan kucing itu tercapai dan akan mengenakan bayaran yang berpatutan jika pemilik kucing ingin meninggalkan kucing mereka di situ nanti.

“Setiap bulan saya mengeluarkan kos RM600 untuk membeli makanan kucing termasuk susu bagi anak kucing menggunakan wang pencen.

“Kebanyakan kucing peliharaan ini adalah kucing yang ditemui di tepi jalan serta kucing yang diserahkan orang ramai kerana mereka tidak mampu untuk memeliharanya disebabkan kekangan masa ataupun masalah lain,” katanya.

Katanya, semua kucing peliharaannya mempunyai buku rekod yang merekodkan kesihatan haiwan itu serta beberapa butiran lain.

“Saya juga mempunyai sebuah buku mengandungi keratan akhbar atau majalah yang menyiarkan cerita mengenai kucing dan kami sekeluarga menghabiskan masa kira-kira dua jam setiap hari menguruskan haiwan terbabit.

“Pelbagai nama saya beri kepada kucing mengikut bentuk fizikal ataupun nama yang menarik antaranya Atam atau Abang Long, Abu Jep, Biru-biru, Tompok, Merah, Anjang, Kembang, Mak Coreng, Black, Adik Yok, Abot, Aman, Alam, Celoreng, Apok, Uteh dan pelbagai lagi,” katanya.

SUMBER: Harian Metro

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment