Tahukah Anda Di Pahang Pun Ada Pulau Kucing

PEKAN: Minat dan cintanya terhadap kucing mendorong dia mengusahakan tanah pulau seluas kira-kira empat hektar di Pulau Keladi di sini, bagi menempatkan puluhan kucing jalanan untuk dipelihara.

Usaha murni yang digerakkan sejak 2015 itu bukan saja menelan belanja ribuan ringgit setiap bulan, malah menuntut komitmen harian Tengku Lukmannadzira Tengku Husin, 55, ke atas haiwan kesayangannya itu.

Menurutnya, kawasan dinamakan Meow Island itu adalah inisiatif yang diambil selepas melihat terlalu banyak kucing jalanan terbiar tanpa penjagaan sepatutnya.

Katanya, sebelum ini, dia hanya membela kucing di kawasan rumah sebelum memohon tanah daripada kerajaan negeri empat tahun lalu untuk dijadikan kawasan menjaga dan membela haiwan itu.

“Minat terhadap kucing sejak kecil lagi, saya tidak pilih baka kucing apa untuk saya jaga. Kucing yang terbiar dan sakit terutama akan diselamatkan. 

“Kini, di Meow Island ada lebih daripada 20 kucing sudah saya selamatkan dan pelihara termasuk bersama haiwan lain seperti kambing dan anjing,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini.

Tengku Lukmannadzira berkata, beliau menghabiskan sekurang-kurangnya RM7,000 sebulan bagi menjaga dan menguruskan kucing dipeliharanya itu termasuk membeli makanan dan kos rawatan.

Beliau turut menghabiskan ribuan ringgit untuk mencantik dan menaik taraf Meow Island seperti membina rumah kucing, sangkar dan rumah tumpangan untuk sukarelawan datang ke pulau itu membantunya.

Menurutnya, sukarelawan asing terutama pencinta kucing dari Barat sering ke pulaunya untuk membantu menguruskan kucing peliharaannya selama beberapa minggu.

“Mereka lakukan kerja dengan ikhlas tanpa meminta bayaran, saya cuma beri mereka tempat tinggal di kawasan rumah tumpangan yang sudah dibina sebagai tempat bermalam,” katanya.

Bekas perunding perkahwinan itu mengalu-alukan orang ramai membawa kucing jalanan yang diselamatkan kepadanya namun ia mestilah dimandulkan terlebih dulu sebagai syarat untuk tinggal di Meow Island.

Katanya, jika kucing yang dibawa tidak dimandul terlebih dulu ia akan menyebabkan pembiakan tidak terkawal sekali gus menyukarkan penjagaan yang lebih efektif dilakukan.

Dalam pada itu, bagi menampung perbelanjaan harian penjagaan kucing yang diselamatkan, beliau turut mengambil inisiatif menjual cenderamata seperti baju dan menyediakan perkhidmatan rumah tumpangan di kawasan pulau itu kepada orang ramai.

“Saya turut menjual pakaian terpakai yang ditinggalkan orang ramai di kawasan rumah dengan harga RM1 setiap sehelai bagi menampung kos penjagaan kucing ini,” katanya.

Beliau turut bersyukur kerana usahanya itu dibantu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang yang akan melakukan pemeriksaan ke atas kucingnya setiap bulan.

Anak kelahiran Pekan itu menganggarkan kira-kira 1,000 kucing dipelihara dan diselamatkan sejak kecil dan tidak akan berhenti membuat perkara itu selagi kudratnya masih ada.

“Kucing jalanan yang ada di persekitaran kita ini juga makhluk Allah SWT dan memerlukan ihsan manusia, jadi atas sebab itu juga saya mewujudkan Meow Island supaya mereka mempunyai kawasan yang mana boleh mendapat penjagaan yang baik,” katanya.

Tengku Lukmannadzira berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk orang ramai atau pencinta kucing melawat Meow Island dan berbesar hati jika ada pengunjung datang ke kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, lebih berhati-hati dalam menyerahkan kucing peliharaannya kepada mereka yang menginginkan atas beberapa faktor seperti kebolehjagaan penjaga haiwan itu serta komitmen yang mampu diberikan jika mahu mengambil kucing jalanan itu dari Meow Island.

SUMBER: Harian Metro

p/s: Min suka cara dia sebab dia minta kucing dimandulkan sebelum dilepaskan ke pulau itu. So takdelah bertambah-tambah kucing kat situ kan. Teringin nak pergi sana.

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment