Sanggup Lepaskan Kerjaya Sebagai JURUTERA Demi Memulakan Kerjaya Melibatkan Kucing

Bergelar seorang jurutera merupakan satu kerjaya yang boleh dibanggakan, namun melepaskannya demi cinta kepada ‘si bulus’ tidak pernah membawa penyesalan kepada Faizulniza Puzi.

Lebih mesra disapa sebagai Niza, 35, ibu kepada empat orang anak itu nekad berhenti sebagai jurutera pada 2012 dan mewujudkan jenama ‘Geli-Geli Kucing’ pada 2013 yang menjual pelbagai keperluan kucing selain menyediakan hotel serta perkhidmatan dandanan buat haiwan itu.

Mula beroperasi di sini sebelum membuka cawangan di Meru, Ipoh pada 2016, Niza berkata idea mengusahakan perniagaan itu tercetus selepas mendapati banyak permintaan terhadap penjagaan kucing.

“Biasanya kedai haiwan peliharaan menjaga kucing dan anjing, tiada yang hanya fokus kepada kucing, maka bila saya nampak peluang serta permintaan itu ada terutama daripada orang Melayu, maka saya ambil peluang itu,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Ditanya idea nama ‘Geli-Geli Kucing’, Niza berkata ia tercetus selepas mendapati ramai individu di luar sana yang takut dan geli dengan kucing.

Berkongsi cabaran yang dihadapi, Niza berkata beliau dan 15 kakitangan menganggap tugas menjaga kucing itu sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya termasuk menyayangi haiwan berkenaan seperti tuannya.

Bercerita lanjut, Niza berkata pemilik kucing yang ingin meninggalkan haiwan peliharaan mereka di premisnya boleh memilih sama ada menyewa hotel iaitu bilik khas bagi setiap kucing atau kondominium iaitu kotak kaca bertingkat.

“Harga yang disediakan adalah daripada RM12 hingga RM35 bergantung kepada pakej yang dipilih. Kami juga menyarankan pemilik supaya membawa makanan sendiri kerana perut kucing sensitif tidak boleh diberi makan sebarangan,” katanya.

Tambahnya permintaan bagi sewaan hotel dan kondominium untuk kucing bagi premis di sini dan Ipoh penuh setiap kali menjelang musim perayaan yang mencecah sehingga 150 ekor kucing.

Niza berkata berdasarkan permintaan yang sangat menggalakkkan, pihaknya akan membuka satu lagi cawangan di Manjung sebelum Aidiladha tahun ini selain merancang untuk mewujudkan francais di NHseluruh negara di bawah jenama ‘Geli-Geli Kucing’.

– BERNAMA

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment