Perlu Atau Tidak Kucing Dipakaikan Rantai Kolar?

Topik ini menjadi satu perdebatan yang hebat antara pemilik kucing.

Ramai di antara pemilik kucing yang tidak suka memakaikan kolar pada kucing mereka dan sebaliknya. Namun setiap perkara ada kelebihan dan kekurangannya. Terdapat beberapa faktor yang dapat disimpulkan dalam keputusan ini sama ada perlu atau tidak kucing dipakaikan kolar. Artikel kali ini kita membincangkan isu ini:

Anda mungkin memasangkan kolar pada kucing anda kerana khuatir yang kucing anda akan melarikan diri atau sesat. Kebimbangan anda itu satu perkara yang rasional. Namun terdapat beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai kolar. Walapun dengan memakaikan kolar dapat membantu mengenalpasti kucing anda dari kucing yang lain, tapi adakah kolar bersesuaian?

Kenapa kucing patut dipakaikan kolar?

Dengan memakai kolar ada sisi positifnya. Kebanyakan pemilik kucing memakaikan kolar pada kucing mereka disebabkan perkara berikut:

1. Untuk mengenalpasti kucing mereka

Kita tidak akan tahu sekiranya tiba-tiba kita bertemu kucing yang serupa dengan kucing kita. Jadi agak susah untuk mengenalpasti adakah kucing tersebut kucing kita. Namun jika kucing tersebut mempunyai kolar, sudah tentu anda pasti yang kucing tersebut milik anda.

2. Untuk mencari kucing mereka

Ini juga antara sebab utama kenapa kucing patut dipakaikan kolar. Seperti yang kita tahu kucing adalah haiwan yang suka merayau-rayau dan kadang kala boleh tersesat. Jika kucing anda memakai kolar, sudah tentu orang lain akan tahu yang kucing ini mempunyai pemiliknya. Rantai kolar yang mempunyai perincian dan maklumat memudahkan lagi orang lain untuk menghubungi anda.

3. Kucing bertambah comel

Ramai yang bersetuju bahawa kolar adalah aksesori yang comel untuk kucing. Anda boleh menambah loceng supaya setiap kali kucing anda bergerak, anda mudah untuk menemuinya.

4. Menyatakan yang kucing tersebut bertuan

Sudah tentu kucing yang memakai kolar mempunyai tuan. Jadi risiko untuk kucing anda dibawa lari dapat dikurangkan. Tapi ada juga kes kucing yang terang-terang berkolar pun kena curi.

Kenapa perlu elak pakaikan kolar pada kucing?

Terdapat beberapa kesan buruk sekiranya memakaikan kolar pada kucing kita. Jadi anda perlu berhati-hati dan sentiasa berwaspada sekiranya kucing anda dipakaikan kolar.

1. Kolar tidak kelihatan

Apa gunanya pakaikan kolar tapi hilang di sebalik bulu kucing yang tebal? Ada kucing mempunyai bulu yang tebal dan panjang jadi kolar tenggelam di dalam bulu. Jadi bagi kucing yang berbulu panjang, tidak perlu dipakaikan kolar. Sekiranya kucing anda hilang dan seseorang menemui kucing anda dan mereka tidak dapat melihat kolar tersebut bagaimana pula mereka ingin mengembalikannya kepada anda semula?

2. Tidak muat

Bulu kucing sebenarnya tumbuh dengan cepat dari apa yang anda sangka. Ini boleh menjadikan kolar tersebut longgar atau ketat. Jika kolar terlalu ketat ini membuatkan kucing tidak selesa dan sukar untuk bernafas. Jika kolar tersebut menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan pada kucing, mereka akan cuba sedaya upaya untuk membuang kolar tersebut yang akhirnya mencederakan diri mereka sendiri.

Kolar yang terlalu longgar juga boleh menyebabkan bahaya pada kucing. Banyak kes yang berlaku kucing mati disebabkan tercekik kerana kolar tersangkut. Kucing kan haiwan yang tak duduk diam. Melompat, memanjat berlari jadi kolar yang longgar merupakan risiko bagi kucing.

Kesimpulan

Jadi tidak kira apa yang anda lakukan, akan sentiasa ada risiko apabila memakaikan kolar pada kucing anda. Tapi dengan memakaikan kolar juga mempunyai kelebihannya tersendiri. Pastikan kolar yang anda pakaikan pada kucing anda itu bersesuaian.

Suka kucing? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment