Tidak disangkal lagi kucing parsi merupakan baka kucing yang menjadi kegemaran ramai. Kucing parsi dikenali dengan bulunya yang cantik, hidung yang agak penyet dan juga kucing yang pendiam dan penyayang.
Oleh sebab karakteristiknya yang sangat kompleks dan elegen maka penjagaan kucing baka ini juga memerlukan pemerhatian dan penjagaan yang terbaik sekerap yang boleh. Pendek ceritanya kalau tak berapa rajin, sila jangan bela kucing parsi.
PENJAGAAN BULU KUCING PARSI
Kucing parsi sememangnya mempunyai bulu yang sangat panjang dan lebat. Ia memerlukan penjagaan yang rapi setiap hari. Jadi pemilik kucing parsi perlu memberus bulu kucing parsi dengan menggunakan berus jenis rata dengan gigi plastik. Anda juga boleh menggunakan berus besi dengan gigi bulat untuk mengelakkan kecederaan pada kulit mereka yang sensitif
Anda seharusnya melakukan aktiviti memberus ini seawal kucing masih bayi supaya kucing anda dapat membiasakan dirinya. Dengan ini aktiviti memberus dapat dijadikan sebagai sesi penjagaan, relaksasi dan mengukuhkan ikatan. Matlamatnya adalah untuk melonggarkan simpulan pada bulu kucing dan juga membuang bulu yang m4ti. Anda akan perasan, bulu kucing parsi anda akan gugur banyak apabila anda memberusnya. Ini adalah perkara biasa. Jangan risau, memberus kucing parsi anda pada setiap hari tidak akan membotakkan kucing anda.

Jika anda tidak memberus kucing parsi anda pada setiap hari, kesannya akan bertambah bulu yang simpul dan merosakkan bulu mereka yang cantik itu.
Seperti yang anda tahu, kucing menjilat dirinya sendiri untuk kekal bersih. Kucing parsi akan menelan bulu yang m4ti jika tidak dibuang melalui berus dan ini akan mengakibatkan mereka mengalami trichobezoars atau bahasa mudahnya gumpalan bulu pada usus. Kebiasaannya, kucing anda akan memuntahkan gumpalan bulu tersebut. Senario buruknya gumpalan bulu tersebut boleh mengakibatkan usus tersebut dan memerlukan kecemasan perubatan.
Tambahan lagi, semakin panjang bulu kucing parsi anda, jika tidak dijaga ia akan menjadi sarang kutu. Selain dari memberus secara hari-hari, kucing parsi perlu dimandikan setiap dua ke tiga bulan dengan menggunakan shampoo yang khas untuk penjagaan PH kulitnya.
PENJAGAAN MATA KUCING PARSI
Kucing Parsi mempunyai mata yang sering berair. Kekerapan mata berair ini berbeza pada setiap kucing Parsi dan musim. Namun mata kucing Parsi perlu dibersihkan pada setiap hari dengan menggunakan cotton pad atau tisu tandas lembut yang dicelup dengan air.
Untuk membersihkan mata kucing parsi anda, sapukan tisu lembab pada kawasan saluran air mata dan di kawasan sudut dalam matanya. Dengan lembut dan perlahan bersihkan sisa kekotoran yang ada pada mata kucing anda. Kemudian dengan menggunakan tisu lembut yang bersih, keringkan segala lembapan yang ada pada mata kucing anda. Pada sekali sapuan, sila tukar tisu yang baru untuk mengelakkan jangkitan kuman pada mata.
Sangat penting untuk membersihkan mata kucing parsi secara kerap kerana jika tidak sisa air mata akan berkumpul dan akan menyebabkan tahi mata yang tebal. Jika tahi mata telah menebal, ia agak sukar untuk mengeluarkan dengan hanya menggunakan tisu lembab.
PENJAGAAN TELINGA KUCING PARSI
Kucing Parsi mengeluarkan tahi telinga berbeza mengikut setiap kucing Parsi yang lain. Namun secara keseluruhannya, anda digalakkan untuk mencuci telinga kucing Parsi anda setiap minggu untuk mengelakkan kutu telinga, fungus atau jangkitan bakteria. Kekerapan anda mencuci telinga kucing akan membuatkan kucing anda lebih membiasakan dirinya kepada aktiviti ini.
Dengan menggunakan tisu tandas yang lembab, cuci semua permukaan luar di dalam telinga kucing anda. Dengan menggunakan cotton swab cuci segala kekotoran yang ada di dalam telinga kucing. Namun jangan korek terlalu dalam sehingga menganggu kawasan gegendang telinga. Jika anda risau, boleh sahaja menggunakan tisu tandas.
PENJAGAAN KUKU KUCING PARSI
Anda seharusnya memotong kuku kucing Parsi anda setiap dua minggu dan aktiviti ini perlu dilakukan sejak kucing anda kecil supaya kucing anda lebih membiasakan dirinya. Waktu terbaik untuk memotong kuku kucing parsi anda adalah sebelum anda memandikan nya untuk memudahkan pengendalian memotong kuku.
Ada yang berkata, kucing Parsi merupakan kucing yang suka duduk di dalam rumah. Namun ada di antara mereka sangat ingin tahu dan suka pengembaraan dan seperti kucing yang lain, mereka juga suka meneroka kawasan berumput dan memburu. Jika kucing Parsi anda seperti ini anda disyorkan untuk memantau segala pergerakan kucing Parsi anda kerana fizikal mukanya yang rata, mereka tidak mampu untuk menggigit mempertahankan diri sendiri.
APAKAH DIET YANG TERBAIK UNTUK KUCING PARSI?
Disebabkan kucing Parsi ini seekor kucing yang lebih suka duduk diam dan kurang aktif maka kucing jenis ini lebih mudah untuk naik berat yang menjurus kepada masalah jantung dan masalah batu karang. Jadi, tersangatlah penting untuk kucing parsi anda mempunyai diet yang seimbang.
Untuk mengurangkan risiko menjadi obesiti dan batu karang, anda perlu kerap melakukan aktiviti fizikal dengan kucing parsi anda. Seperti bermain mengejar tali, mengejar bola dan sebagainya supaya kucing parsi anda mendapat senaman fizikal yang mencukupi.
Penjagaan kucing parsi sangatlah penting untuk mengekalkan kecantikan mereka dan yang paling penting kesihatan dan kebahagiaan mereka. Ia memerlukan usaha yang banyak dan sememangnya tahap kerajinan anda perlulah tinggi untuk memiliki kucing jenis ini. Kalau rasa leceh, bela sahaja kucing domestik lebih mudah dalam segi penjagaannya.