Lelaki Penang Yang Belanjakan Separuh Gajinya Semata-mata Untuk Haiwan Jalanan, Dihadiahkan Sebuah Motosikal

Pada bulan Mei yang lalu tular mengenai kisah seorang pencinta haiwan yang membelanjakan separuh gajinya dengan memberi makan kucing dan anjing jalanan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Diketahui yang Anfalazie Anuar yang lebih dikenali dengan Ann, membelanjakan gajinya dengan memberi makan haiwan jalanan dua kali sehari.

Apabila ditemuramah, Ann mendedahkan yang gajinya sebagai pencuci hanyalah sebanyak RM850 dan kerja menjaga parking sehari sebanyak RM30.

Lelaki berusia 30 tahun ini menggunakan motosikal abangnya untuk pergi ke mana sahaja kerana motosikal miliknya rosak dan tidak berkemampuan untuk dibaiki.

Ramai netizen yang tersentuh dengan kisah Ann ini dan ada juga menawarkan diri untuk membantu.

Antaranya adalah CEO Motosikal dan Enjin Nasional SDn BHD (MODENAS), anak syarikat DRB- Hicom Berhad.

Pada 30 Mei yang lalu kurang sebulan selepas cerita mengenai Ann tular di Facebook, Roslan Roskan menghadiahkan Ann sebuah motosikal baru kerana sifat belas kasihannya terhadap haiwan jalanan.

Motosikal CT 115S itu bernilai lebih dari RM5,000.

Untuk menjadikan kejutan ini lebih istimewa, motosikal ini diberikan oleh Azman Ali yang berkongsikan kisah Ann ini di Facebook.

Azman berkongsikan video wakil MODENAS memberikan motosikal kepada Ann di facebook dengan menulis:

“Janji Allah bagi mereka yang ikhlas itu pasti”

 

Selain menerima hadiah motosikal ini, Ann juga menerima duit raya dari MODENAS.

 “Saya tidak pernah dapat hadiah sebelum ini, lebih-lebih lagi kejutan seperti ini. Allah sajalah yang tahu betapa terkejutnya saya, sampai terketar-ketar,” kata Ann.

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment