Labun Si Kucing Yang Diterima Menjadi Pelajar Kerana Rajin Datang Ke Kuliah

Gelagat seekor kucing yang tekun mendengar syarahan seorang pensyarah dirakamkan di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak ketika sesi kuliah sedang dijalankan menjadi tular pada tahun 2017 yang lalu.

Dalam rakaman tersebut, si kucing belang comel ini akhirnya tertidur di atas meja setelah mendengar syarahan dengan penuh minat dan bersemangat dalam kuliah tersebut.

Gambar-gambar gelagat comel kucing ini telah dimuat naik di halaman Twitter dan dengan pantas menjadi tular dan tontonan sensasi sehingga mendapat liputan di dalam portal gaya hidup terbesar di dunia, Buzzfeed.

Bukan mudah untuk diangkat menjadi subjek di dalam portal tersebut. Namun ternyata kucing kesayangan ramai yang dinamakan Labun ini sememangnya seekor kucing yang sangat bertuah.

Bermula dengan statusnya sebagai kucing jalanan, kini Labun dipelihara dan dijaga dengan cukup baik dan kebajikannya diutamakan oleh semua orang di sekelilingnya. Bukan setakat dijaga oleh empat orang pensyarah, malah Labun turut mendapat perhatian daripada para pelajar dan kakitangan di bangunan Kuliyyah of ICT , tempat yang menjadi kediaman Labun selama lima tahun.

Salah seorang penjaga Labun, Profesor Dr Norsaremah Salleh berkata,

“Empat orang ibunya akan bergilir-gilir membelikan makanan untuk Labun. Para pelajar juga bermurah hati memberikan makanan dan permainan kepada Labun, malah melayan karenah dan bermain bersama dengannya.”

Menurutnya lagi, Labun pada mulanya ditemui berkeliaran di sekitar kawasan fakulti kira-kira lima tahun yang lalu. Kata Profesor Dr Norsaremah,

“Waktu itu Labun masih kecil dan merupakan anak kucing yang sangat manja. Mungkin ia telah dibuang di sini, kerana ibu Labun tidak pernah dilihat berada bersamanya.”

Ujarnya lagi,

“Saya berasa sangat kasihan melihat keadaan Labun dan mengambil keputusan untuk menjaganya. Tetapi saya tidak berseorangan kerana turut dibantu oleh rakan-rakan pensyarah yang lain.”

Beliau ternyata sangat bersyukur dengan hasrat mereka untuk memberikan penjagaan yang terbaik buat Labun, telah disambut baik dan mendapat sokongan serta bantuan daripada anggota fakulti lain termasuk Dekan sendiri.

Apa yang lebih menarik Labun turut memiliki kad matrik sendiri sebagai pengenalan diri yang membuktikan Labun adalah pelajar dan haiwan peliharaan di fakulti tersebut.

Tambah Profesor Dr Norsaremah,

“Pekerja pembersihan juga turut membantu. Seperti pada cuti umum dan cuti semester, mereka akan menjaga dan menengok-nengokkan Labun kerana kampus akan menjadi lengang pada waktu ini.”

Kehadiran Labun di fakulti itu bukan sahaja sebagai hiburan dan terapi minda tetapi juga sebagai satu sentuhan membangkitkan rasa kasih sayang dan perasaan simpati manusia terhadap haiwan.

Profesor Dr Norsaremah mengakhiri kata,

“Dengan mendekati Labun, para pelajar akan lebih menghargai haiwan ini dan dapat mempelajari nilai-nilai murni dan kasih sayang.”

Sumber: ERA BARU

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment