Adakah anda risau kucing anda menjadi bosan atau sunyi ketika anda tiada di rumah?
Ini adalah salah satu kerisauan yang ada pada pemilik kucinh yang hanya membela seekor sahaja dan sukar untuk bersama kucing mereka setiap masa kerana kesibukan bekerja.
Adakah kucing sunyi tanpa rakan kucing yang lain?
Ya… Kucing sememangnya akan berasa sunyi tanpa hadirnya kucing yang lain, namun ini seringkali berlaku kepada anak kucing yang sangat memerlukan teman untuk bermain. Apabila kucing semakin dewasa, naluri ingin mengawal kawasan pula muncul. Ketika tempoh ini, kucing menjadi sangat peka terhadap kawasan sekelilingnya dan sekiranya ada kucing yang lain, ini mungkin akan berlakunya konflik dan sikap agresif.
Bagaimana hendak mengetahui yang kucing itu sunyi?
Berikut merupakan tanda-tanda kucing anda kesunyian:
1. Sering menjilat badannya (grooming)
Kucing sememangnya haiwan yang suka membersihkan diri mereka sendiri. Walaubagaimanapun, jika kucing anda terlalu kerap membersihkan dirinya, ini mungkin petanda yang kucing anda kesunyian.
2. Kucing anda berbunyi lebih dari kebiasaannya
Ada beberapa kucing yang memang sifatnya suka berbunyi seperti kucing siam. Namun jika kucing anda yang asalnya pendiam tiba-tiba menjadi terlalu bising, sila ambil perhatian. Kucing anda mungkin sunyi dan mendambakan perhatian.
3. Kucing anda tiba-tiba ada masalah dalam membuang urin atau najis
Adakah kucing anda tiba-tiba tidak menggunakan kotak pasir? Ini mungkin petanda masalah buah pinggang atau ada isu di saluran urinari. Walaubagaimanapun sekiranya kucing anda terbukti sihat, ini bermakna kucing anda cuba memberitahu bahawa ia sunyi dan bosan.
4. Kucing anda menjadi agresif
Jika perhati kucing anda sedang anda bersiap sedia untuk keluar bekerja di pagi hari. Adakah kucing anda tiba-tiba agresif dan menderam kepada anda? Jika ya, kucing anda mungkin memberitahu anda bahawa ia sedih kerana anda ingin meninggalkannya bersendirian di rumah.
5. Kucing anda tiba-tiba menjadi pemusnah
Kucing yang bosan dan kesunyian boleh merosakkan dan memindahkan barang untuk mengisi masa yang lapang itu. Mereka akan merosakkan sofa, langsir dan mengoyak-ngoyakkan tisu tandas.
Kesimpulan
Perhatikan perilaku kucing anda jika ada apa sahaja perubahan seperti perubahan pada tabiat tidur dan makan kucing anda. Ini mungkin juga petanda yang kucing anda sunyi dan perlukan kawan.