Kelebihan Dan Kekurangan Makanan Kering Dan Makanan Basah Kucing

Kalau anda seperti kebanyakan pemilik kucing, anda mungkin tertanya-tanya apa yang terbaik untuk kucing anda: makanan basah atau makanan kering?

Tapi tidak ada jawapan yang jelas kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Akhirnya anda sendiri yang perlu memutuskan apa yang terbaik untuk anda dan kucing anda.

Dengan infomasi dari PetMD, Homes Alive, dan Love Meow, berikut merupakan pro dan kon pada setiap makanan basah dan kering:

Makanan kering

Kelebihan

Makanan kering lebih memudahkan. Ianya boleh dibiarkan di luar seharian untuk kucing anda makan, mudah dibawa ke mana sahaja dan mudah untuk ditinggalkan beberapa hari jika anda tiada di rumah.

Makanan kering juga dikatakan baik untuk gigi kucing kerana makanan kering mungkin dapat mengikis beberapa plak dari gigi ketika kucing mengunyah.

Kekurangan

Oleh kerana makanan kering mengandungi kelembapan yang sedikit dan lebih banyak sodium ianya boleh menyebabkan penyahhidratan yang boleh menyebabkan jangkitan pada saluran urinari dan masalah buah pinggang.

Oleh kerana makanan kering lebih banyak karbohidrat berbanding protein, ianya boleh menjurus kepada masalah diabetes. Kandungan karbohidrat yang tinggi juga menyukarkan proses penghadaman.

Meninggalkan makanan kering di luar setiap masa boleh membuatkan kucing obesiti kerana kucing akan sentiasa makan tak henti-henti.

Makanan basah

Kelebihan

Makanan basah adalah sumber kelembapan yang bagus. Kucing liar mendapat sumber kelembapan dari mangsa mereka dan oleh sebab itu kucing liar jarang minum air.

Kepelbagaian perisa dan bau yang lebih kuat dapat menambat selera kucing yang cerewet bab makan.

Ianya mudah untuk kucing yang mengalami sakit gigi atau kucing tua yang banyak kehilangan gigi dan sukar untuk mengunyah.

Makanan basah mengandungi protein yang banyak. Kucing adalah haiwan karnivor tegar yang bermaksud mereka lebih memerlukan daging dalam diet mereka.

Kekurangan

Makanan basah sememangnya akan membuatkan kerja-kerja membersihkan mangkuk makanan kucing anda dengan lebih kerap.

Makanan basah dikatakan akan membuatkan gigi kucing menjadi rosak kerana ianya tidak dapat mengikis plak seperti makanan kering.

Makanan basah juga tidak tahan lama seperti makanan kering dan harganya pula lebih mahal.

Mencampurkan makanan kering dan makanan basah

Sekiranya anda memberi kucing anda dua jenis makanan ini, ianya tidak memberi apa-apa masalah.  Tetapi, tidak digalakkan mencampurkan makanan kering dan makanan basah kerana ianya lebih membuatkan bakteria lebih mudah membiak kerana makanan basah tidak tahan lama. Jika anda ingin berikan juga pastikan kucing anda makan habis kesemua makanan yang telah dicampurkan itu.

Suka kucing? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment