Kehadiran 8 Ekor Kucing Sebagai Penyeri Rumahtangga

Kadang-kala bukan anak-anak yang menjadi pengukur kebahagiaan sesebuah rumahtangga…

“Kehadiran lapan kucing manja dalam rumah tangga kami dapat mengubat kesunyian selepas istana dibina selama 13 tahun tanpa zuriat sebagai penghibur dan penghubung kasih sayang.

“Saya dan suami, Mohd Yadzil Mat Yasin, 40 melayan semua kucing seperti anak kami sendiri dengan menyediakan sangkar khas, makanan dan rawatan kesihatan secara berjadual,” kata Roshaliza Roslan, 35.

Dia yang menetap di Kampung Seri Damai di sini berkata, rumah tangga mereka sentiasa meriah dan ceria dengan kehadiran lapan kucing baka tempatan dan seekor jenis Parsi yang dibeli dengan harga RM700.

Menurutnya, setiap kucing diberi nama seperti Oyen, Bella, Putih dan Omey yang mempunyai perwatakan dan perangani berbeza yang dianggap unik dan menarik.

Katanya, kesunyian tanpa zuriat terubat dengan adanya haiwan manja yang menjadi penghibur dan peneman di rumah selain gelagatnya yang mampu menghilangkan tekanan serta penat menguruskan rumah tangga.

“Rutin harian saya disusun dengan mencuci sangkar dan memandikan kucing pada pagi, makanan khas beberapa jenama disediakan sepanjang hari bagi memastikan haiwan terbabit tidak lapar.

“Kucing yang mengalami masalah kesihatan akan menjalani pemerikasaan bulanan ke klinik, saya membelanjakan lebih RM1,500 untuk menguruskan lapan kucing itu,” katanya yang turut memiliki seekor kucing cacat tanpa cuping telinga.

Roshaliza yang berasal dari Rompin berkata, setiap kali pulang ke kampung, dia akan membawa bersama semua kucing dengan menaiki pancuan empat roda milik suaminya dengan tandas berisi pasir turut disediakan.

Menurutnya, hobi memelihara kucing dimeriahkan lagi dengan menyertai pertandingan fesyen haiwan terbabit yang dianjurkan setiap tahun di negeri ini.

Katanya, dia sanggup mengeluarkan modal untuk menempah pelbagai jenis pakaian berharga antara RM70 hingga RM150 sehelai hingga memperoleh dua kejuaraan yang dimenangi kucing bernama Oyen.

“Saya bersyukur hobi memelihara kucing turut sama dikongsi dengan suami. Walaupun tidak mempunyai cahaya mata, namun kami masih berpeluang mencurahkan kasih sayang kepada kucing yang memahami hubungan itu.

“Dunia saya kini selain menguruskan suami tugas lain ialah menjaga lapan kucing yang menjadi penyeri rumah tangga,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yadzil berkata, kesunyian rumah tangga tanpa zuriat terubat apabila melihat lapan kucing yang sentiasa manja dan mudah didekati.

“Saya melayan kucing peliharan seperti anak sendiri yang menyerikan rumah tangga,” katanya.

”Setiap kali kucing demam, saya dan isteri tidak lelap tidur kerana memikirkan keadaan haiwan terbabit. Perbelanjaan besar bukan penghalang kepada kami memberi merawat yang sempurna,” katanya yang baru menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera.

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment