Hukum JUAL BELI Kucing Menurut Pandangan Mufti Kuala Lumpur

MM nak kongsikan penjelasan mengenai hal jual beli kucing oleh Mufti KL.

Dengan harapan penjelasan ini dapat menjawab pelbagai persoalan yang ada.


Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

HUKUM JUAL BELI KUCING
AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 136 (23 DISEMBER 2015 / BERSAMAAN 11 RABIULAWAL 1437H) – EDISI KEMASKINI 26 FEBRUARI 2016-

Assalamualaikum ustaz,

Saya nak dapatkan pencerahan daripada ustaz, apakah hukum membela kucing & menjual kucing? Adakah hasil penjualan kucing tersebut haram?

Terima kasih ustaz.

JAWAPAN:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Para ulama khilaf dalam masalah ini.

Pertama:

Pendapat bahawa kucing ini HARAM dijualbeli secara mutlak berdasarkan hadis daripada Abu Zubair RA:

سَأَلْتُ جَابِرًا عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ قَالَ زَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ

Maksudnya:

Aku (Abu Zubair) bertanya kepada Jabir (seorang sahabat Nabi SAW) berkenaan jual beli anjing dan al-Sinnur (kucing). Dia menjawab bahawa Rasulullah SAW melarang perkara itu.

Riwayat Muslim (1569)

Dalam hadis lain riwayat Jabir bin Abdullah – R.Anhuma -juga bahawa dia berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ

Maksudnya:

Rasulullah SAW melarang makan duit hasil penjualan anjing dan kucing.
Hadis Riwayat Abu Daud (3479) dan Tirmidzi (1279)

Al-Imam al-Syaukani mengatakan:

“Al-Sinnaur adalah kucing dan padanya (hadith Jabir) menunjukkan dalil haram menjual kucing. Ini adalah pendapat Abu Hurairah, Mujahid, Jabir bin Zaid dan Tawus”. (Lihat Nayl al-Awtar, 5/172)

Kedua:

Pendapat kedua adalah pendapat yang mengatakan kucing BOLEH dijualbeli.

Al-Imam al-Nawawi mengatakan: Menjual kucing dibenarkan tanpa khilaf di sisi kami kecuali apa yang dihikayatkan oleh Al-Baghawi di dalam kitabnya

Syarh Mukhtasar al-Muzani dari Ibn al-‘As yang mana berkata:

“Tidak harus”, maka pendapat ini syaz, batil dan tertolak dan masyhur adalah dibolehkan dan inilah pendapat jumhur ulama’.

Seterusnya al-Imam al-Nawawi mengatakan:

“Jumhur ulama mengatakan boleh dan kebolehan ini juga pada menjualnya (kucing) dan ini adalah pendapat Ibn ‘Abbas, Ibn Sirin, Hamad, Malik, al-Thauri, al-Syafi’e, Ahmad, Ishak, Abu Hanifah dan ashab al-Ra’yi…”. (Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/229)

Pendapat jumhur termasuk Mazhab syafie membenarkan jual beli kucing jika kucing itu memiliki manfaat seperti menangkap tikus maka hukumnya ialah halal untuk dijual beli. Begitu juga jika ia merupakan haiwan liar, maka tidak dibenarkan. Ada juga yang mengatakan bahawa kucing ini diharamkan jual beli kerana pada awal Islam ia dianggap najis, kemudian setelah tersabit daripada Rasulullah SAW bahawa kucing itu suci maka dibenarkan jual beli kucing.

Adapun hadis berkenaan melarang jual-beli kucing maka menjawab larangan tersebut adalah seperti berikut:

1-Larangan ditujukan kepada kucing hutan yang tiada manfaatnya.

2-Larangan adalah larangan tanzih (makruh).

Seterusnya kata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah:

“Adapun sekiranya terdapat manfaat, maka menjualnya sah dan halal nilai harganya dan ini adalah mazhab kami (mazhab al-Syafi’e) dan mazhab keseluruhan (jumhur).” (Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/233)

Tarjih:

Kami lebih cenderung kepada hukum makruh perniagaan kucing berdasarkan larangan dalam nas.

Wallahu a’lam.

Sumber Mufti Wilayah Persekutuan

 

p/s: kalau makruh tu seeloknya dijauhi lah kan? Buat tak berd0sa, kalau tak buat pon tak berd0sa. Tapi adalah lebih elok jika kita mengutip kucing kucing jalanan untuk dibela dari kita beli kucing yang mahal mahal yea dok? So lets adopt dont shop!

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment