“Hak mereka telah saya tunaikan dan semangat untuk terus menyelamatkan haiwan yang tidak berdosa ini akan terus membara sampai bila-bila,”

SAAT Siti Khadijah Alba, 26, menapak masuk ke pusat transit perlindungan kucing, Sollu Shelter di Bandar Parklands, Klang, Selangor, kira-kira 100 ekor kucing mula mengerumuninya.

Ada yang buta kedua-dua mata, tiada kaki, lumpuh kekal, cacat otak, pekak dan tidak kurang juga hilang deria bau. Semuanya gara-gara kezaliman manusia yang sanggup mendera makhluk tidak berdosa itu.
Meskipun cacat, mereka seolah-olah kenal dengan susuk tubuh yang telah bersusah payah turun di jalanan menyelamatkan nyawa kucing yang terbiar, berpenyakit dan cedera.
Anak kelahiran Lahad Datu, Sabah itu mengusap dan membelai manja kucing-kucing tersebut dengan penuh kasih sayang tanpa sedikit pun rasa takut dan geli.
Haiwan mati meninggalkan rangka, manusia m4ti meninggalkan jasa. Itulah prinsip hidup Siti Khadijah yang sanggup mengorbankan masa mudanya demi memperjuangkan nasib kucing jalanan.

Detik hitam

Tidak semua yang sanggup bergelumang dengan kekotoran dan bau busuk apatah lagi berhabis wang ringgit demi memberi kehidupan yang lebih sempurna kepada kucing jalanan tetapi tidak bagi Siti Khadijah.


Sehingga kini, Sollu Shelter yang ditubuhkan sejak tahun 2014 itu telah mempunyai dua cawangan termasuk di Taman Sentosa, Klang, Selangor. Hari ini pusat perlindungan itu telah menempatkan kira-kira 2,000 ekor kucing jalanan.

“Saya bahagia melihat kucing-kucing ini dapat hidup selesa dan bergerak bebas tanpa diganggu oleh tangan-tangan yang zalim. Bayangkan saya pernah menerima kes kucing yang dianiaya sehingga terkeluar kedua-dua biji matanya, putus kakinya dan patah tulangnya.
“Hak mereka telah saya tunaikan dan semangat untuk terus menyelamatkan haiwan yang tidak berdosa ini akan terus membara sampai bila-bila,” katanya.

Siti Khadijah memberitahu, pengalaman kem4tian enam ekor anak kucing yang diselamatkan di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor sekitar Mei 2014 menjadi titik tolak tertubuhnya Sollu Shelter.
Menceritakan detik hitam itu, Siti Khadijah berasa amat terkilan kerana gagal menyelamatkan anak kucing berkenaan yang berusia tiga minggu walaupun sudah memenuhi keperluan mereka termasuk mendapatkan rawatan apabila sakit.
Ekoran rasa bersalah yang menebal pada diri, siswazah jurusan Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu nekad untuk menyelamatkan seberapa banyak kucing jalanan yang ditemuinya.

“Tidak semua orang suka kucing. Kadangkala ada orang berjumpa haiwan ini dalam keadaan yang cedera parah tetapi takut untuk menyelamatkannya disebabkan berpenyakit, dijangkiti virus, berbau busuk dan kotor.
“Biarlah saya mengambil tanggungjawab itu supaya kesengsaraan mereka dapat dikurangkan. Saya sanggup berkorban apa saja asalkan nyawa mereka dapat diselamatkan,” katanya yang mengupah dua pembantu bagi menguruskan kerja pembersihan kucing-kucing berkenaan.

Pasukan khas

Siti Khadijah memberitahu, beliau turut menubuhkan Persatuan Penyelamat Haiwan Jalanan dan membentuk pasukan khas seramai kira-kira 10 orang untuk memantapkan urusan menyelamat kucing jalanan di seluruh Semenanjung kecuali di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Pasukan berkenaan bergerak secara sukarela menerusi maklumat yang diterima orang awam dan rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.


Menurut Siti Khadijah, dalam seminggu mereka menerima secara purata kira-kira 30 panggilan yang meminta untuk menyelamatkan kucing jalanan tanpa mengira masa dan tempat.
Siti Khadijah mengakui beliau sendiri yang akan membersihkan kucing jalanan sebelum menghantar ke klinik veterinar untuk mendapatkan rawatan susulan.
Kucing-kucing jalanan yang sudah dirawat diberikan kepada keluarga yang berminat untuk menjaga mereka sebagai haiwan peliharaan berdasarkan syarat-syarat tertentu.

Pantau

“Setiap pemohon perlu mengisi borang permohonan dan akan melalui sesi temu duga selain perlu menandatangani akur janji untuk menjaga kebajikan kucing yang diambil sebaik mungkin.
“Kita tidak akan lepas tangan sebaliknya terus memantau perkembangan kucing yang diambil selama tiga bulan bagi mengelakkan sebarang penganiayaan berlaku,” ujarnya.

Cerita Siti Khadijah, sehingga kini hampir 1,500 ekor kucing jalanan yang diselamatkannya mendapat keluarga baharu dan beberapa kes kucing dirampas kembali kerana melanggar syarat perjanjian.
Meskipun, kos operasi Sollu Shelter mencecah kira-kira RM5,000 sebulan namun Siti Khadijah tidak duduk diam sebaliknya menjalankan perkhidmatan seperti khidmat pembersihan, pengangkutan kucing serta hotel kucing bagi menampung perbelanjaan bulanan.
Jauh di sudut hatinya, Siti Khadijah memasang impian untuk membuka sebuah taman yang menempatkan kesemua kucing jalanan bagi memberikan keselesaan kepada mereka.
Mengulas kes penganiayaan kucing yang semakin membimbangkan di negara ini, Pensyarah Psikologi Klinikal, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd. Nor berkata, ia dilihat berlaku dalam kalangan mereka yang mengalami psikopat iaitu tingkah laku yang melanggari norma sosial.

“Pelaku mungkin mengalami tekanan yang keterlaluan atau menanggung trauma akibat pengalaman lampau yang menyakitkan sehingga melepaskannya kepada haiwan yang lemah dan tidak mampu melawan.“Ia berkait rapat dengan keadaan persekitaran si pelaku dibesarkan, perhubungan dalam kehidupan seharian selain kualiti kehidupan yang dijalaninya,” jelas beliau. Justeru, Hilwa menasihatkan si pelaku menemui pakar psikologi klinikal untuk mendapatkan terapi tingkah laku kognitif bagi mengubah cara pemikiran mereka.

Hukuman berat

Jumlah sesi terapi bergantung kepada keperluan si pelaku sekurang-kurangnya dua minggu sekali bagi meluahkan segala yang terbuku di hati.
Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, isu penganiayaan haiwan dapat diatasi dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah selain mengenakan perintah khidmat masyarakat.
Menurut Khalid, apabila undang-undang dikuatkuasakan secara serius, mereka akan mulai takut untuk bertindak di luar batasan.Katanya, Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) wajar dikuatkuasakan tanpa kompromi terhadap mereka yang menganiaya haiwan dan kerajaan boleh menambah hukuman sebat selain penjara dan denda.

“Kita mempunyai banyak rumah kucing terbiar yang memerlukan tenaga pekerja sukarela. Justeru, pesalah ini perlu ‘dihantar’ melakukan kerja-kerja sukarela bagi memupuk sifat kemanusiaan yang telah pudar daripada jiwa mereka,” ujarnya.Khalid mencadangkan supaya perintah khidmat masyarakat itu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu atau sehingga satu tempoh yang diputuskan oleh Jabatan Khidmat Masyarakat.

SUMBER: Kosmo

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment