Kucing merupakan haiwan yang pandai membersihkan dirinya sendiri. Namun ada ketikanya kucing anda akan perlu dimandikan juga.

Berbeza dengan kepercayaan yang popular, tidak menjadi masalah untuk memandikan kucing anda. Secara keseluruhannya, kucing indoor boleh dimandikan sekali atau dua kali setahun. Kekerapan kucing anda perlu dimandikan bergantung kepada beberapa faktor.
Faktor yang mempengaruhi
Walaupun disyorkan untuk mengurangkan kekerapan memandikan kucing seminimum yang mungkin, cara terbaik untuk menentukan berapa kerap kucing anda perlu dimandikan adalah dengan melihat kepada faktor-faktor berikut:
1. Persekitaran

Kucing yang selalu keluar rumah meronda sana sini perlu dimandikan lebih kerap berbanding kucing yang hanya duduk di dalam rumah. Ini adalah kerana kucing yang seuka keluar lebih mudah mengotorkan diri mereka berbanding kucing yang hanya duduk di rumah. Mandikan kucing anda bila kucing anda sudah berbau atau tersangat kotor.
2. Kepanjangan dan jenis bulu

Kucing yang berbulu panjang lebih memerlukan penjagaan berbanding kucing berbulu pendek. Bulu yang panjang lebih mudah untuk kusam dan bersimpul. Jika ini terjadi kepada kucing anda, cuba beruskan terlebih dahulu bulu-bulu tersebut sebelum memandikan kucing anda. Hanya mandikan kucing anda sekiranya proses memberus tidak dapat melonggarkan bulu yang tersimpul itu.
3. Tingkahlaku merapikan diri sendiri
Kucing yang tidak mampu atau tidak mahu merapikan diri sendiri dengan baik perlukan mandian yang kerap untuk mengelakkan bulu mereka menjadi berminyak dan melekit. Kucing yang terlebih berat badan selalunya mengalami kesukaran untuk capai kesemua kawasan badannya, jadi kucing seperti ini perlu dimandikan untuk memastikan bulu mereka sentiasa terurus.
4. Tahap aktiviti

Kucing yang sangat aktif memerlukan mandian yang kerap kerana mereka mudah mengumpulkan habuk dan kekotoran.
5. Isu kesihatan
Isu seperti keradangan kulit, jangkitan kutu atau najis cair mungkin memerlukan mandian yang kerap seperti yang dinasihatkan oleh veterinar anda.