Bolehkah Kita Bertemu Semula Dengan Kucing Kita Di Syurga Nanti? Ini Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan KL

Kan baru-baru ni MM kehilangan kucing kesayangan MM tu. Memang sedih yang amat dan persoalan ini memang bermain di fikiran MM. Ada penjelasan mengenai haiwan di akhirat nanti akan jadi debu sahaja. Jadi boleh ke kita jumpa semula dengan kucing-kucing kita di syurga nanti?

Harap penjelasan dari mufti WPKL ni dapat menjawap persoalan MM dan semua pencinta kucing khususnya.

Bolehkah saya bertemu semula dengan kucing peliharaan kesayangan saya yang telah mati di akhirat nanti ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam, demikian juga kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.”

Riwayat Muslim (1955)

Hadis ini jelas dalam menyatakan kewajiban berlaku ihsan kepada setiap makhluk. Kata Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di :

“Maka termasuklah antaranya berbuat ihsan kepada kesemua kategori manusia, dan juga kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut (untuk berlaku ihsan)’’. 

Rujuk Bahjah Qulub Al-Abrar, Al-Sa’di (1/127).

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, berkenaan bolehkah seseorang itu bertemu dengan haiwan peliharaannya yang disayangi di akhirat kelak.

Berikut kami kongsikan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan makhluk kesemuanya (pada hari akhirat kelak). (Iaitu) setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berkata kepada haiwan-haiwan dan juga burung: ‘’Jadilah kamu tanah’’.

Lihat Tafsir Al-Thabari (24/181)

Ini menunjukkan, keadaan haiwan di akhirat kelak tidaklah sama dengan keadaan umat manusia. Dari sudut amalan mereka tidak akan dihitung pada kebaikan dan keburukannya, begitu juga mereka tidak dimasukkan ke dalam syurga-syurga Allah seperti golongan manusia yang bertakwa. Sebaliknya, kesemua haiwan akan menjadi debu tanah pada hari akhirat kelak.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa setiap manusia itu lebih utama untuk berusaha dalam memastikan dirinya ditempatkan oleh Allah S.W.T ke dalam syurga melalui amalan soleh di dunia. Seperti yang diketahui, menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan adalah termasuk dalam amalan soleh yang boleh membawa seseorang menuju ke syurga.

Justeru, saat seseorang itu berada di syurga kelak sudah pastilah segala kehendak dan kemahuannya akan dituruti sebagai ganjaran dari Allah S.W.T buat dirinya. Inilah yang Allah S.W.T firmankan dengan kata-Nya:

Maksudnya:

“Di dalamnya (syurga) terdapat perkara-perkara yang menjadi syahwat (kehendak) kepada jiwa dan juga perkara-perkara yang melazatkan pemandangan mata.”

Surah Al-Zukhruf (71)

Imam Al-Thabari apabila mensyarahkan ayat ini meletakkan sebuah riwayat bahawa seorang arab badwi bertanya kepada Rasulullah S.A.W:

Maksudnya:

“Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mencintai unta. Adakah di syurga nanti ada unta ?’’Lalu baginda berkata: ‘’Wahai arab badwi, sekiranya Allah memasukkan kamu ke dalam syurga Insha Allah, maka di dalamnya terdapat apa sahaja yang kamu kehendaki dan melazatkan pemandangan matamu”.

Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (2/641)

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment