Apa Yang Anda Boleh Jangka Setelah Kucing Anda Makin Berusia

Adakah kucing anda mula mencapai usia emasnya? Seperti manusia tidak semua kucing digelar ‘senior’ pada waktu yang sama.

Namun anda boleh mula melihat tanda-tanda penuaan yang berlaku pada kucing anda sekiranya kucing anda berumur 7 tahun dan mula digelar kucing senior pada umur 11 tahun. Kucing indoor boleh hidup sehingga 15 tahun namun jarang sekali untuk melihat kucing hidup sehingga 18 ke 20 tahun. Ini perkara yang akan berlaku pada kucing anda setelah ia meningkat usia.

Pergerakan mula perlahan

Anda mungkin perasan yang kucing anda mula bergerak dengan perlahan-lahan. Arthritis boleh berlaku pada kucing yang berusia.

Perubahan pada kulit, bulu dan kuku

Sama seperti manusia, apabila kucing berusia mereka akan mengalami beberapa perubahan fizikal. Banyak kucing yang akan mengalami perubahan dalam tekstur bulu dan penipisan bulu. Kucing tua tidak akan kemas seperti dahulu. Mereka akan mula mengurangkan aktiviti merapi diri sendiri. Usia tua juga menyebabkan kulit kucing anda kering, nipis dan mudah untuk luka. Anda mungkin perlu memberus kucing tua anda dengan kerap untuk stimulasikan minyak semulajadi pada kulitnya.

Anda juga akan perasan yang kuku kucing anda menjadi lebih kasar dan tebal. Kucing tua akan mula mengurangkan aktiviti mencakar, jadi dengan memotong kuku kucing anda dapat membantu.

Penyakit berkaitan gigi

Salah satu tanda penuaan yang jelas pada kucing adalah peningkatan isu pergigian mereka. Kajian menunjukkan yang 70% kucing tua mengalami penyakit pergigian. Kucing yang tidak mempunyai penjagaan gigi yang baik sepanjang hidupnya seperti pembersihan gigi oleh veterinar, mungkin mengalami masalah gigi yang serius yang boleh menyebabkan penyakit yang membawa maut. Tanda-tanda penyakit gigi termasuklah bau nafas yang busuk, tidak mahu makan, air liur meleleh, dan mulut berdarah. Lakukan yang terbaik untuk penjagaan gigi kucing anda supaya dapat mengelakkan dari terjadinya perkara seperti ini di usia emas kucing anda.

Perubahan dalam pendengaran dan penglihatan

Kucing tua anda mungkin mengalami beberapa kehilangan pendengaran. Seringkali kucing yang kehilangan deria pendengaran ini akan menjadi agresif. Mungkin kelihatan seperti kucing anda menyerang anda tanpa sebab, tapi sebenarnya kucing anda tidak mendengar seseorang mendekati dan bertindak sedemikian kerana terkejut. Kehilangan pendengaran adalah sesuatu yang tidak boleh diperbaiki namun kucing masih boleh merasa getaran jadi jika kucing anda tidak boleh mendengar, cuba berjalan dengan kuat atau menepuk tangan dengan kuat untuk menarik perhatian kucing anda.

Kucing tua juga boleh mengalami kehilangan penglihatan. Jika anda perasan kucing anda agak cemerkap, terlanggar itu ini atau mempunyai masalah mencari makanannya, pergi ke veterinar untuk pemeriksaan mata kucing anda.

Tanda-tanda penuaan yang lain adalah kucing yang tua mudah mengalami penyakit buah pinggang, pengurangan fungsi jantung dan pengurangan keupayaan untuk melawan penyakit. Jadi jangan buat sambil lewa sahaja dengan tingkahlaku kucing tua anda dengan mengatakan ‘kucing tua memang begitu’. Kucing dikenali dengan kelebihan mereka menyembunyikan penyakit dan kesakitan. Jika ada ragu-ragu berbincang dengan veterinar anda. Ambil tahu mengenai kesihatan kucing anda secara menyeluruh dan tahu apa yang perlu dijangka apabila kucing anda semakin tua. Ini akan memberikan kualiti hidup yang baik untuk anda serta kucing anda.

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page kami The Mamamiaow

Leave a comment