7 Perkara Kucing Perlukan Dari Kita Sebagai Pemiliknya

Kucing kita adalah kesayangan kita dan kita sentiasa ingin memastikan yang mereka mempunyai semua yang diperlukan.

Dari penjagaan yang terbaik dari penjaga yang terbaik (kita la kan!), kucing kita sentiasa memberikan kegembiraan dalam kehidupan kita sehingga kita inginkan mereka mendapat kegembiraan yang sama.

Berikut merupakan 7 perkara yang kucing sangat perlukan dari anda. Jika anda sudah pun memberikan ketujuh-tujuh ini, kucing anda seekor kucing yang sangat bahagia!

1. Hormati ruang mereka

Bagi kucing ada masanya untuk bersosial dan ada masanya untuk bersendiri dan kita sebagai manusia perlu menghormatinya. Kesemua kucing perlu mempunyai ‘ruang selamat’ tak kiralah bilik, kotak, katil kucing mahupun di beranda rumah di mana kucing dapat pergi dan tidak diganggu. Kucing juga sukakan tempat di mana mereka boleh bersembunyi sambil memerhatikan sekeliling mereka dan jika mereka selesa jangan cuba memindahkan mereka.

2. Keperluan asas

Bukan sahaja kucing perlukan perkara asas seperti makanan, minuman dan kawasan untuk berehat, namun perapian yang berterusan juga diperlukan. Walaupun kucing pandai membersihkan diri mereka sendiri, kucing masih perlukan tangan manusia untuk memberus segala bulu-bulu kusam dan bulu berserabut jika kucing anda berbulu panjang dan lebat. Merapikan bulu kucing pun dapat meningkatkan lagi ikatan antara pemilik kucing dan kucing mereka.

3. Memahami kecerewetan mereka

Bukan rahsia lagi yang kucing sememangnya haiwan yang cerewet. Kucing boleh cerewet mengenai jenis makanan yang mereka makan, bekas minuman, kotak pasir, permainan malah lokasi barangan ini diletakkan di rumah. Terima sahaja kecerewetan mereka yang semulajadi ini dan lakukan yang terbaik untuk kucing anda.

4. Perlindungan

Walaupun kucing mempunyai naluri survival yang hebat, ianya terpulang kepada kita iaitu pemilik kucing untuk memastikan mereka kekal selamat. Menanam mikrocip, melengkapkan vaksinasi dan menyahkutu adalah sebahagian dari menjadi pemilik kucing yang bertanggungjawab. Ia juga menjadi tanggungjawab kita untuk berhati-hati apabila melepaskan kucing kita bermain di luar. Bagi yang memelihara kucing indoor dalam rumah yang bertingkat-tingkat jangan lupa pasangkan perlindungan pada tingkap dan beranda anda untuk mengelakkan kucing anda terjun ke bawah.

5. Stimulasi mental

Walaupun kucing tidak memerlukana untuk memburu demi meneruskan kehidupan, ianya penting untuk membenarkan naluri pemburuan ini berjalan dalam diri mereka. Bersembunyi, mengendap, mengejar dan menyerang dapat membantu kucing anda menjadi kucing yang aktif dan gembira. Sediakan permainan yang dapat menstimulasikan naluri pemburuan kucing anda.

6. Meluangkan masa sepenuhnya

Anda boleh saja bermain dengan kucing anda sambil menonton filem tapi kucing sebenarnya tahu yang anda tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada mereka. Luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk anda hanya bermain dengan kucing anda tanpa melakukan perkara yang lain sambil-sambil itu. Pastikan anda lakukan perkara yang kucing anda sukakan setiap hari tak kisah sama ada membelai, bermain atau hanya berbual dengan kucing.

7. Kasih sayang

Selain dari kesihatan dan keselamatan, perkara yang kucing paling perlukan adalah ikatan bersama anda. Kasih sayang dapat menguatkan lagi ikatan anda walaupun anda dan kucing anda adalah spesis yang berlainan, kucing anda tahu yang anda merupakan keluarga mereka.

Suka kucing? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment