13 Ekor Anjing Dibiarkan Kebuluran Akhirnya Diambilbela Oleh Raja Thailand

13 ekor anjing baka Great Danes kebuluran ditemui ditinggalkan di sebuah rumah di Pathum Thani, Thailand.

Bangkok Post melaporkan yang anjing-anjing tersebut diselamatkan oleh veterinar sukarelawan dari Watchdog Thailand dan pihak berkuasa Jabatan Pembangunan Haiwan Ternakan Pathum Thani pada Isnin 19 Ogos yang lalu.

Penyelamatan ini terjadi setelah saudara pemilik rumah tersebut membuat aduan.

Individu yang melaporkan ini tidak sanggup melihat keadaan anjing-anjing ini lebih-lebih lagi salah seekor dari anjing ini bersama dua ekor anaknya mati di dalam sangkar.

Pemilik anjing tersebut lari dari rumah beberapa minggu yang lalu dan meninggalkan anjing-anjing ini tanpa penjagaan dan jelas sekali makanan. Kesemua anjing-anjing ini kehilangan berat badan terlampau banyak sehingga hanya tinggal kulit dan tulang sahaja apabila ditemui oleh pihak berkuasa.

Saudara yang tinggal berdekatan itu berkata rumah tersebut beroperasi sebagai pusat pembiakan anjing sudah beberapa tahun sehinggalah pemilik tersebut menutup perniagaannya kerana masalah kewangan dan dengan kejamnya mengabaikan haiwan-haiwan ini.

The Nation Thailand melaporkan yang pemilik rumah ini adalah wanita Thailand pertengahan umur.

Dia mengatakan yang dia sudah tidak bekerja dan baru-baru ini diceraikan dan menghadapi masalah kewangan yang menghalangnya untuk menjaga anjing-anjing ini.

Wanita ini pada asalnya membiak anjing-anjing ini untuk dijual namun tidak mampu mencari pembeli kerana ekonomi buruk yang berlaku di Thailand.

Menurut  Metro UK, dia kini disiasat pihak polis dan mungkin dijatuhkan hukuman di bawah Akta Pencegahan Kekejaman dan Akta Kebajikan Haiwan.

Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn sudah berikrar untuk mengambilbela kesemua anjing-anjing malang tersebut, cover kos kesemua rawatan, makanan dan penjagaan berterusan mereka.

Raja menghantarkan wakilnya untuk mengambil kesemua 13 ekor anjing Great Danes itu untuk menerima rawatan di Hospital Haiwan Universiti Kasetsart pada 10.40 pagi, semalam lapor The Nation Thailand..

Raja Thailand sangat berbesar hati untuk membela anjing-anjing ini dan mereka semua akan dijaga di pusat jagaan anjing Biro Tetangga DiRaja selepas kesemuanya kembali sembuh.

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment