110 Ekor Kosong Mengisi Kekosongan Hati Wanita Ini Setelah Kematian Suami

HULU SELANGOR: Wanita ini pernah mengalami kemurungan yang melampau disebabkan kem4tian suami yang baru empat bulan dinikahi akibat lem4s.

Walaupun sering digelar perempuan gil4 dan peminta sedekah, dia tidak kisah sebaliknya masanya banyak dihabiskan dengan memelihara kucing jalanan sebagai teman berbual demi melupakan kerinduan terhadap arwah suaminya.

Namun disebabkan dihimpit pelbagai masalah, Nor Hayati Mohamed, 50, membawa 110 kucing peliharaannya untuk tinggal di sebuah kawasan pedalaman di ladang berdekatan Kampung Sungai Kerandang, Bukit Tagar di sini, sejak sebulan lalu.

Bekas setiausaha sebuah syarikat swasta di ibu negara itu berkata, dia mula memelihara kucing sejak 2016 kerana mahu melupakan kesedihan akibat kehilangan suami.

“Kami bernikah pada Februari 2014 tetapi dia meninggal dunia empat bulan selepas itu akibat lemas ketika pulang ke kampung halaman di Beirut, Lubnan bagi menziarahi ibunya yang sakit.

“Sejak itu, saya mengalami kemurungan melampau dan bertemu psikiatri kerana tidak boleh terima kenyataan.

“Saya kemudian bela kucing sebagai terapi untuk dijadikan penawar dan teman saya berborak setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, bermula dari seekor kucing, dia kini memelihara pelbagai jenis kucing yang dikutip di merata tempat.

“Kucing ini lebih daripada segalanya bagi saya, malah saya sudah anggap macam keluarga sendiri dan berkongsi segala masalah.

“Kadangkala kalau saya menangis bila ada masalah, ada kucing yang datang usap muka dan kepala saya seolah-olah memahami apa yang saya alami.

“Malah setiap kucing ini ada jalan cerita tersendiri dan masing-masing diberikan nama supaya mudah saya memanggilnya,” katanya.

Nor Hayati berkata, perpindahannya dari rumah sewa di Hulu Langat ke kawasan pedalaman itu didorong pelbagai faktor termasuk dihimpit masalah kewangan dan air yang menyukarkan lagi urusannya untuk membersihkan najis kucing.

“Saya buat keputusan tinggal di sini selepas dipelawa pemilik tanah ini. Walaupun dalam hutan, janji kucing ini semua selamat, tambahan lagi lebih mudah kerana berdekatan dengan sungai. Saya tidak kisah biarpun dipanggil perempuan gila dan peminta sedekah kerana berkawan dan bercakap dengan kucing serta tinggal dalam hutan seorang diri,” katanya.

Menurutnya, rutin hariannya bermula sejak jam 6.30 pagi dan waktu tidurnya sekitar jam 3 pagi bagi memastikan semua keperluan dan kebajikan kucing berkenaan terjaga.

“Inilah dunia saya. Memang penat tetapi saya sanggup lakukan kerana sayangkan semua kucing ini. Kadangkala jam 3 pagi pun saya masih belum tidur kerana risaukan keadaan kucing di luar. Saya tidak makan pun, tidak apa, yang penting kucing ini dapat makan,” katanya. Nor Hayati berkata, dia sedang mengumpul dana bagi membesarkan sangkar sedia ada untuk keselesaan kucingnya.
“Saya bergantung hidup dengan wang Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM350 sebulan manakala keperluan makanan dan ubatan kucing biasanya disumbang individu serta rakan komuniti kucing yang banyak membantu.
“Cuma kini saya amat memerlukan lebih RM20,000 untuk membiayai kos pembinaan sangkar kucing berkonsepkan terbuka supaya ia dapat membesar dalam persekitaran semula jadi dan diasingkan mengikut jantina, ibu dan anak serta dilengkapi ruang rawatan.
“Saya juga ada perancangan mengusahakan ladang ini dengan menternak ayam kampung, lembu, kambing serta bertani bagi mencari pendapatan sendiri,” katanya.

Sumber:HARIAN METRO

Suka dengan apa yang anda baca? Jom like page The Mamamiaow

Leave a comment